SHAH ALAM: Seorang anak tukang jahit tidak mensia-siakan peluang dan harapan ibu bapanya ketika menuntut di universiti apabila tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Anugerah Naib Canselor.
Lebih manis, Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Perladangan, Nur Nilam Sari Ramlan, 24, yang meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.89 itu menerima anugerah khas daripada Pemerbadanan Komuniti Peladang (ISP) pada Istiadat Konvokesyen Ke-96 berkenaan.
Nur Nilam Sari yang berasal dari Kampung Sungai Besar, Sabak Bernam, dekat sini berkata, dia berasa sangat bersyukur kerana mampu cemerlang seperti dua abangnya yang juga merupakan graduan UiTM di cawangan Lendu, Melaka dan Dungun, Terengganu.
“Alhamdulillah bantuan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dapat ditukarkan menjadi biasiswa.
“Saya bukan dari keluarga yang senang. Kedua-dua ibu bapa bekerja sebagai tukang jahit dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan. Jadi, saya sangat menghargai peluang yang ada. Malah, kami datang hari ini (semalam) dengan berpakaian yang dijahit oleh emak dan ayah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang ke-4 istiadat tersebut, semalam.
Dalam istiadat tersebut, seramai 255 graduan daripada Fakulti Perladangan dan Agroteknologi bersama-sama 1,008 mahasiswa dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan Melaka yang menerima ijazah sarjana muda serta diploma masing-masing.
Sementara itu, ibunya, Marziana Mat Salleh, 55, dan bapa, Ramlan Masri, 55, turut menzahirkan kesyukuran di atas kejayaan ketiga-tiga anaknya yang menamatkan pengajian di UiTM.
“Sebenarnya, saya (ibu) pun alumni Institut Teknologi Mara (ITM) tahun 1986-1989 dalam bidang tekstil. Saya pun teruja apabila anak-anak menyambung pengajian di UiTM. Yang pertama dalam bidang grafik, kedua pula kulinari dan bongsu perladangan.
“Saya amat menggalakkan anak-anak mengutamakan bidang kemahiran berbanding akademik supaya ada sesuatu yang boleh diusahakan pada masa depan. Mereka diberi kebebasan memilih kemahiran yang diminati,” ujarnya. – UTUSAN










