JOHOR BAHRU: Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meluahkan perasaan dukacita dengan kualiti beberapa jalan raya di sekitar bandar raya ini.
Sehubungan itu, beliau telah memanggil Jurutera Daerah Johor Bahru bagi menjelaskan keadaan jalan dan inisiatif Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru dalam menyelesaikan masalah tersebut.
“Sebentar tadi, saya turun melihat sendiri keadaan jalan raya di beberapa kawasan di bandar Johor Bahru yang kerap diadu kepada kami di kementerian. Antaranya di Jalan Tebrau di hadapan Hotel Crystal Crown; Jalan Persimpangan Kampung Dato’ Sulaiman dan Persimpangan Kampung Majidee.
“Memang agak mendukacitakan keadaan jalan di sini. Benarlah seperti yang diadukan oleh pengguna jalan raya dan saya mahu ada tindakan berkesan diambil dalam masa terdekat, bukan lagi membiarkan pengguna terus menerus terpaksa bersabar dengan keadaan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Alexander berkata, antara aduan utama diterima pihaknya melibatkan isu penyelenggaraan yang tidak memuaskan.
“Baik aduan rasmi ataupun menerusi media sosial, isu ini berterusan menimbulkan keresahan dan kemarahan dalam kalangan rakyat. Saya juga seorang pengguna jalan raya, jadi saya memahami situasi ini.
“Malah, adakalanya saya juga tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya yang berlubang dan kurang rapi penjagaannya. Saya akan dapatkan laporan status keadaan jalan raya bermasalah dengan lebih kerap daripada JKR Pusat dan negeri di seluruh negara bagi memastikan segala perancangan dilaksanakan dengan lancar.
“Isu penyelenggaraan jalan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan dan nyawa manusia. Jalan raya digunakan setiap hari dan hampir setiap masa, tentu sekali saya memandang serius berkaitan perkara ini.,” katanya. -UTUSAN