PETALING JAYA: Lebih 60,000 pesakit yang menjalani dialisis meninggal dunia berpunca daripada kegagalan fungsi buah pinggang akibat penyakit-penyakit kronik dalam tempoh 10 tahun bermula 2011 hingga 2021.
Rekod itu berdasarkan data yang dikeluarkan oleh National Renal Registry bagi pesakit yang menjalani dua rawatan dialisis iaitu hemodialisis (HD) dan dialisis peritoneal (PD).
Pesakit yang telah meninggal dunia direkodkan lebih ramai dalam kalangan mereka yang mendapatkan rawatan HD, manakala selebihnya merupakan pesakit bagi rawatan PD.
UTAMA
Data menunjukkan penyakit utama buah pinggang ‘disumbang’ oleh penyakit kencing manis atau diabetes mellitus iaitu sebanyak 50 peratus.
Ini diikuti dengan darah tinggi (hipertensi) iaitu lebih 30 peratus dan penyakt-penyakit lain dalam peratusan yang lebih kecil. Data juga menunjukkan punca tersebut konsisten sepanjang 10 tahun lalu.
Data juga menunjukkan sejumlah 3,292 pesakit kronik buah pinggang meninggal dunia pada 2011 dan meningkat kepada 9,042 pesakit pada 2021.
Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan, jumlah mesin dialisis di negara ini tidak mencukupi bagi menampung keperluan pesakit kronik buah pinggang yang jumlahnya semakin bertambah setiap tahun.
Kekurangan fasiliti berkenaan terutama milik kerajaan dikhuatiri menyebabkan proses rawatan pesakit terutamanya mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes tidak mencapai tahap optimum.
Keadaan itu lebih membimbangkan kerana ramai pesakit yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan dialisis kerana kosnya yang tinggi iaitu sekurangnya-kurangnya RM39,790 (hemodialisis) dan RM37,576 (dialisis peritoneal) setahun bagi seorang pesakit.
Golongan lelaki pula kekal sebagai pesakit paling ramai menjalani rawatan dialisis berbanding wanita tetapi jurangnya semakin mengecil.
Dalam dua tahun kebelakangan ini, perbezaan peratusan telah kurang daripada lima peratus atau 52:48 nisbah lelaki dan perempuan berbanding 70:30 pada tahun 1970-an dan 60:40 pada tahun 1980-an.
Kadar rawatan juga bergantung kepada umur dengan peningkatan paling ketara dicatatkan dalam kalangan warga emas berusia 65 tahun dan ke atas dan mereka yang berumur antara 55 hingga 64 tahun.
Namun, pada tahun 2021, kira-kira 80 peratus pesakit baharu dan 70 peratus daripada semua pesakit yang menjalani dialisis berada dalam kumpulan umur 45 tahun ke atas. – UTUSAN










