KUALA LUMPUR: Lima individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang jurujual melibatkan wang tebusan RM1.12 juta, bulan lalu.
Suhaimi Mat Zin, 41, Wong Guo Song, 33, Yong Zi Hui, 25, Zulkarnain Ramli, 46, dan Muhammad Azam Hatan, 32, menyatakan faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa menahan, menculik dan mengurung lelaki berusia 39 tahun itu kira-kira pukul 10.30 malam, 29 April lalu di Jalan Mesra Ria, Bandar Sri Petaling di sini.
Mereka didakwa bersama-sama individu yang masih bebas melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.
Empat tertuduh diwakili oleh peguam-peguam Tharamjit Singh, Muhammad Ashraff Mohd. Diah, Azinuddin Karim dan Izzati Yaacop manakala Muhammad Azam tidak diwakili peguam.
Pendakwaaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan. Mahkamah menetapkan kes itu disebut pada 17 Julai ini. -UTUSAN