PETALING JAYA: Seramai 18 pemilik lori mendesak Kementerian Pengangkutan menyiasat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang didakwa cuba melucutkan hak pemilikan kenderaan mereka.
Mereka mendakwa, kenderaan mereka disita JPJ pada Disember lalu atas kesalahan melebihi had muatan dalam operasi di sekitar Lembah Klang.
Seorang daripada pemilik lori, K.R. Shanmagaraja,42, berkata, lori jenis Nissan miliknya dirampas atas kesalahan membawa muatan batu melebihi had ditetapkan.
“Saya didakwa pada 13 Januari lalu di bawah Seksyen 57 (1)(a) dan (b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta dikenakan denda RM25,000.
“Denda berkenaan dibayar, kemudian pergi ke JPJ Selangor untuk mendapatkan semula lori disita, namun dimaklumkan tindakan lanjut akan diambil di bawah Seksyen 80 (3) Akta Pengangkutan Darat bagi melucutkan hak pemilikan lori tersebut,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Tambah Shanmagaraja, akibat itu, dia tidak dapat bekerja apabila lorinya dirampas sejak lima bulan lalu sehingga terpaksa menanggung hutang bayaran bulanan lori sebanyak RM4,000.
Sementara itu, Kaljit Singh, 36, berkata, trak Nissan turut mengalami nasib sama, malah, tidak dapat menyara keluarga terutama isterinya yang menderita sakit kanser.
“Saya membayar denda RM25,000, namun trak itu belum lagi dapat diambil,” ujarnya. -UTUSAN










