1,500 peserta dijangka sertai KAHF Lenggong Outdoor Festival

1,500 peserta dijangka sertai KAHF Lenggong Outdoor Festival 2023 (ODF2023)

Shamsul Anuar Nasarah dalam sidang media penganjuran KAHF Lenggong Outdoor Festival 2023 (ODF2023), semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Daerah Lenggong sekali lagi dipilih buat kali kedua sebagai lokasi karnival pengisian dan aktiviti luar dengan menghimpunkan komunitinya menerusi penganjuran KAHF Lenggong Outdoor Festival 2023 (ODF2023).

Selepas kejayaan edisi pertama, festival yang dianjurkan LOCCO kali ini dijangka disertai seramai 1,500 peserta dan berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Jun di Resort Tasik Raban.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penganjuran aktiviti ini diteruskan selepas berjaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat disamping dapat mempromosikan daerah ini dalam industri pelancongan negara.

“Saya melihat ODF2023 bertepatan dengan waktunya dalam mewujudkan lebih banyak komuniti yang saling menyokong dan menyantuni usaha murni penganjuran festival yang sihat dan diterima semua.

“Bermula tahun 2012, Daerah Lenggong diiktiraf sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO-Arkeologi Lembah Lenggong dan pada tahun 2021 diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan yang keempat.

“Lenggong sudah pasti mempunyai keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri,” kata dalam  sidang akhbar sempena ODF23 semalam.

Antara aktiviti yang dirancang merupakan platform penyatuan pelbagai aspek kehidupan rakyat termasuk gaya hidup sihat, aktiviti fizikal, lasak, serta ekstrem seperti aktiviti perkhemahan, berkayak, memanah, merentas desa, dan pendakian.

Selain aktiviti luar, ODF23 turut menyajikan pengisian seperti bengkel, sesi perkongsian serta forum berkaitan aktiviti luar daripada komuniti terlibat.

Ia turut dimeriahkan dengan persembahan muzik santai pada waktu malam oleh kumpulan muzik seperti Teman Lelaki, Cisco, Nami dan The Mirza.

Jualan tiket masih dibuka di laman sesawang www.outdoorfest.my serta laman media sosial rasmi ODF23.

Sementara itu, penganjuran tahun ini turut dijenamakan sebagai KAHF Lenggong ODF23 selepas menerima penyertaan KAHF selaku penaja utama.

KAHF merupakan jenama penjagaan diri dan dandanan lelaki yang halal dari Indonesia yang menawarkan rangkaian produk seperti pencuci muka, minyak wangi, dan pelindung matahari.

Agung Andrian daripada pasukan Jenama Antarabangsa KAHF berkata, penyertaan jenama itu sebagai penaja utama adalah sebagai usaha untuk mendekati pengguna KAHF selain memperkenalkan rangkaian produk KAHF melalui aktiviti kegiatan luar dan gaya hidup aktif masa kini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya