137 Orang Asli mohon batal status Islam didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan - Utusan Malaysia

137 Orang Asli mohon batal status Islam didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan 137 Orang Asli etnik Bateq Mayah untuk mendapatkan deklarasi bahawa mereka bukan beragama Islam dan berhak mengamalkan agama nenek moyang masing-masing  akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan semua 137 Orang Asli selepas tidak menerima bantahan daripada responden-responden. 

Peguam, Fahri Azzat yang mewakili 137 Orang Asli itu mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media.

Berdasarkan permohonan difailkan pada 28 September 2022, plaintif mendakwa pengislaman beramai-ramai yang dilakukan pada April 1993 iaitu kira-kira 30 tahun lalu di Kampung Kampung Benchah Kelubi, Kuala Lipis tanpa persetujuan mereka.

Plaintif terdiri daripada 87 orang dewasa dan 50 remaja serta kanak-kanak yang berusia di dua hingga 18 tahun. Seramai 58 daripada 87 plaintif dewasa telah meninggal dunia. Kebanyakan plaintiff merupakan anak dan cucu kepada 56 Orang Asli yang lain.

Mereka menamakan pegawai Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah Lipis, Bakar Unus, Ketua Pengarah Orang Asli, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Kerajaan Pahang dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kelima.

KURSUS

Menurut pernyataan tuntutan, sekitar 1993, dua pemimpin etnik tersebut didakwa diminta untuk menghadiri kursus di Kuantan  dan semasa mengikuti kursus mereka diminta untuk menganut agama Islam dan mengajak penduduk lain untuk berbuat perkara sama.

Permintaan tersebut disampaikan kepada penduduk kampung namun ditolak oleh mereka yang masih mengamalkan kepercayaan budaya dan agama animisme.

Bagaimanapun, pada April 1993, defendan pertama telah membuat beberapa lawatan ke kampung berkenaan dan didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada penduduk kampung yang mana mereka tidak lagi akan dibenarkan tinggal di kampung berkenaan dan segala harta-benda serta tanaman akan dimusnahkan sekiranya enggan memeluk agama Islam.

Pada lawatan terakhir, kesemua penduduk kampung yang buta huruf dan tidak mengetahui bahasa Melayu dengan baik telah dikumpul di satu kawasan lapang dan diminta untuk mengucapkan kalimah Syahadah.

Plaintiff mendakwa, kesemua yang hadir tidak mengetahui implikasi pengucapan syahadah itu dan faham apa yang diucapkan ketika itu.

Hanya sekitar tahun 2000 iaitu selepas lebih ramai penduduk kampung mempelajari asas bahasa Melayu sekurang-kurangnya pada aras rendah, barulah kesemua plaintiff mengetahui maksud dan implikasi perkataan `Islam’ yang ada pada kad pengenalan masing-masing dan nama mereka juga telah ditukarkan.

Sehubungan itu, kesemua plaintif memohon satu deklarasi bahawa kesemua 137 Orang Asli tersebut dan kesemua anak-anak mereka yang dilahirkan selepas tindakan undang-undang ini bukan beragama Islam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.