126 SD cuma mainan politik pembangkang - Utusan Malaysia

126 SD cuma mainan politik pembangkang

ANTHONY LOKE SIEW FOOK (tiga dari kiri) bersama veteran DAP, Lim Kit Siang (tiga dari kanan) semasa merasmikan Konvensyen DAP Johor di Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Dakwaan pembangkang memiliki 126 akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen disifatkan sebagai permainan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, konspirasi menjatuhkan kerajaan perpaduan menggunakan SD berkenaan hanyalah sebahagian daripada strategi pihak pembangkang untuk memberikan harapan palsu.

“Mereka tahu jika mereka tidak memberi harapan seperti ini (mengumpul 126 SD), penyokong dan ahli mereka mungkin tidak begitu bersemangat untuk bertanding pada PRN.

“Bagi kami, dakwaan mempunyai 126 SD hanyalah permainan politik pembangkang untuk tampil meyakinkan pada mata penyokong mereka. Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) pada Sabtu, sudah membuat cabaran terbuka, jika pembangkang ada nombor, buktikan di Parlimen yang akan mula bersidang pada 22 Mei ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, veteran DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Timbalannya, Teo Nie Ching dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri mencabar pembangkang membawa SD  Ahli Parlimen berkenaan pada sidang Parlimen jika benar mempunyai sokongan bagi menumbangkan kerajaan perpaduan.

Sejak beberapa hari lalu pimpinan pembangkang menggunakan media sosial mendakwa mereka mempunyai sokongan sehingga 126 Ahli Parlimen.

“Sesiapa sahaja boleh dakwa mempunyai SD yang mencukupi,  permainan SD ini sudah lama wujud dan tidak lebih daripada permainan politik. Sepanjang saya terlibat dalam politik dan menjadi Ahli Parlimen sejak 2008, sudah banyak kali saya dengar tentang SD ini,” kata Anthony Loke.

Beliau turut menzahirkan komitmen penuh DAP untuk terus menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan perpaduan kekal kukuh dengan sokongan 82 Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) ditambah dengan sokongan yang dinyatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Openg. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya