100,000 individu alami masalah mental pasca Covid-19

100,000 individu alami masalah mental pasca Covid-19

covid-19
Covid-19 bukan lagi ancaman di Malaysia. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kira-kira 100,000 individu di negara ini menghadapi masalah berkaitan mental pasca pandemik Covid-19 akibat pelbagai faktor tekanan hidup.

Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), Anita Abu Bakar berkata, mereka mengalami kemurungan, depresi, kecelaruan bipolar dan skizofrenia.

Menurutnya, pada tahun lalu, lebih 33,000 individu datang ke Miasa untuk mendapatkan khidmat sokongan mental, emosi dan rohani.

Katanya, kebanyakan mereka mengalami kesan berkaitan mental selepas menghadapi masalah kewangan berikutan hilang pendapatan, dibuang kerja dan kehilangan orang tersayang .

“Malangnya, hampir kebanyakan mereka mendapatkan khidmat Miasa setelah gagal dengan rawatan alternatif termasuk berjumpa dukun dan bomoh kerana percaya masalah mental dihadapi mereka berpunca daripada perkara mistik.

“Disebabkan itu, kami perlu meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak malu mendapatkan rawatan kesihatan mental dengan cara yang betul.

“Berikutan itu, buat pertama kalinya, kami membuka cawangan di luar Lembah Klang iaitu di Terengganu untuk memudahkan masyarakat di Pantai Timur mendapatkan khidmat sokongan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Miasa Clubhouse Terengganu di sini, semalam.

Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspa­nita) Cawangan Terengganu, Toh Puan Nor Zaini Abdul Latiff.

Anita memberitahu, seramai 33 sukarelawan di Miasa Clubhouse Terengganu akan membantu individu yang mengalami masalah berkaitan mental supaya mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Kami berharap dapat membantu masyarakat Pantai Timur yang memerlukan perkhidmatan ini kerana ia adalah lokasi yang inklusif, pusat advokasi yang efektif untuk kesedaran dalam isu kesihatan mental,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN