SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC tumbang di laman sendiri apabila dikecewakan Kedah Darul Aman FC dengan keputusan 1-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini malam tadi.
Penyerang import dari Brazil, Willian Lira Sousa muncul wira pasukan pelawat menerusi dua golnya yang diperoleh di setiap separuh masa.
Gol pertamanya diperoleh pada minit ke-32 apabila dia menanduk masuk sepakan sudut yang diambil oleh pemain import dari Filipina, Manuel Gelito Ott bagi Kedah mendahului 1-0.
Bangkit dari gol lawan itu, Negeri Sembilan melancarkan serangan ke kubu Kedah dan hasilnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35.
Ia menerusi sentuhan pemain pertahanan tengah, Zainal Abidin Jamil yang memperolehi peluang hasil sepakan kencang dari jarak kira-kira 25 meter yang dilakukan terlebih dahulu oleh Tommy Mawat Mada.

Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan melakukan asakan demi asakan bagi mencari gol kemenangan namun dihampakan dengan tindakan penyudah yang tumpul.
Namun Willian Lira sekali lagi meledak pada minit ke-72 yang juga gol kemenangan buat pasukan Kedah. Ia juga menerusi tandukan dan kali dia menyudahkan hantaran silang Lee Andrew Tuck untuk menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman di gawang Negeri Sembilan.
Tuan rumah tidak mengalah dan cuba mencari gol penyamaan menerusi beberapa asakan namun pelawat kental bertahan sehingga tamat perlawanan.
Keputusan kekal 2-1 sekali gus pasukan Hijau Kuning pulang ke Alor Setar dengan tiga mata berharga.
Selepas mengharungi 10 perlawanan, Kedah kini mengumpul 19 mata manakala Negeri Sembilan kekal dengan 10 mata selepas sembilan perlawanan.-UTUSAN.