KLUANG: Seorang lelaki warga emas maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dekat Pekan Machap.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul 9.45 pagi semalam itu melibatkan sebuah lori Hino lapan tan dan masing-masing sebuah kereta Proton Saga Iswara, Proton Persona dan Mazda.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Proton Saga Iswara dipandu oleh warga emas berkenaan, Soh Moi Choi, 67, datang dari arah Ayer Hitam menuju ke Simpang Renggam, manakala lori Hino, kereta Mazda dan Proton Persona dari arah bertentangan.
“Sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu melanggar tayar bahagian belakang lori. Akibat kejadian itu, kereta Proton Iswara itu berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan kereta Mazda yang berada di belakang lori,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pertembungan itu menyebabkan Moi Choi mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tiga yang cedera ialah penumpang kereta Mazda yang hanya dikenali sebagai Madmozely-Liza, 30, Muhammad Shamer Az Zikri, 20, dan Saodah, 72.
Kesemua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemandu Proton Persona yang berada di belakang kereta Mazda sempat mengelak, namun melanggar serpihan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di hadapannya. – UTUSAN