MERSING: Seekor ular sawa dianggarkan seberat 150 kilogram (kg) berjaya ditangkap apabila ditemukan terbelit pada tali di sebuah chalet, di sini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing, Nur Najibah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 12.15 malam tadi di chalet berkenaan.
“Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Mersing telah menerima panggilan daripada pekerja chalet memaklumkan terdapatnya seekor ular sawa di dalam kawasan chalet dan menghantar lima anggota ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian anggota kita mendapati ular tersebut terbelit tali. Ular sepanjang enam meter itu berjaya ditangkap dan dibawa pulang ke APM Mersing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
APM Mersing akan menyerahkan ular tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mersing. – UTUSAN