PORT DICKSON: Perkelahan pertama kali di Port Dickson buat sekeluarga dari Banting, Selangor berakhir tragedi selepas tiga orang daripada mereka iaitu adik beradik perempuan meninggal dunia dalam kejadian lemas di Pantai Cahaya, petang, semalam.
Sepupu mangsa, R. Thammamty, 30, berkata, dia tidak menyangka, ibu saudaranya bersama anak empat orang sepupunya akan ke Port Dickson untuk berkelah kerana kebiasaannya mereka sekeluarga hanya ke Pantai Morib untuk bermandi manda.
Dia yang tinggal berdekatan dengan rumah keluarga terbabit memberitahu, dia hanya mengetahui keluarga sepupunya itu ke Port Dickson selepas dihubungi oleh ibu saudaranya itu, K. Anchalay, 52, yang memaklumkan kejadian lemas tersebut.
“Adik sepupu lelaki saya, R. Veeran pada mulanya mengambil kereta yang diletakkan di hadapan rumah saya kira-kira pukul 2 petang. Saya fikir dia nak ke kedai namun apabila sudah lewat petang saya mula tertanya-tanya apabila lihat rumah mereka masih belum dinyalakan lampu dan mula tertanya-tanya.
“Tidak lama lepas tu saya dapat panggilan dari ibu saudara yang memaklumkan tiga adik sepupu saya meninggal dunia dan ada yang dikejarkan ke hospital.
“Saya sangkakan mereka terbabit dalam kemalangan namun apabila sampai ke hospital baru saya tahu mereka lemas dalam kejadian di Pantai Cahaya,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Port Dickson, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.57 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai R. Kalaivani, 30, R. Dawige, 29, dan R. Sathiyadevi, 19.

Veeran dan tunang kepada Kalaivani iaitu J. Sathiswaran, 29, pula yang berjaya diselamatkan orang awam ketika kejadian kini sedang dirawat di Hospital Port Dickson.
Thammamty dalam pada itu berkata, ibu saudaranya itu kini dalam keadaan sangat tidak stabil dan hanya menangis tidak henti selepas kehilangan tiga orang anak perempuannya dalam sekelip mata.
“Ketika saya menemui ibu saudara, dia memberitahu kejadian berlaku sangat pantas dan ketika itu dia sedang duduk di atas batu di tepi pantai tersebut. Dia memaklumkan terdengar jeritan orang awam yang meminta pertolongan dan terkejut selepas mengetahui anak-anaknya lemas.
“Sehingga kini ibu saudara masih menangis dan keadaannya tidak stabil, begitu juga dengan bapa saudara saya, S. Ravi, 48. Kebiasaannya kami akan ke Pantai Morib sahaja untuk bermandi-manda, ini kali pertama mereka pergi ke Port Dickson,” katanya lagi.
Tambahnya, lebih menyedihkan lagi, Kalaivani dan Sathiswaran dijangka akan mendirikan rumah tangga pada bulan November depan selepas lapan tahun bertunang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pada pukul 6.20 petang, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima maklumat dari orang awam mengenai kejadian lemas yang berlaku di pantai yang terletak berhampiran Kompleks Pentadbiran Port Dickson di Batu , Jalan Pantai Port Dickson di sini.
“Siasatan polis mendapati mangsa bersama ibi mereka dan seorang lagi rakan telah datang dari Banting, Selangor ke Port Dickson bertujuan untuk mandi-manda. Pada pukul 4.30 petang, mangsa seramai lima orang telah turun ke laut untuk mandi manakala ibu mereka berada darat.
“Selepas itu, ibu mangsa terdengar suara meminta pertolongan dan terlihat dua orang anaknya dan seorang rakan naik ke darat dalam keadaan cemas manakala dua lagi masih berada di laut. Ibu mangsa kemudian meminta pertolongan awam untuk menghubungi polis dan bomba bagi mendapatkan bantuan menyelamatkan dua orang lagi anaknya.
“Operasi menyelamat dilakukan oleh pihak bomba dan berjaya menemui dua orang lagi mangsa bagaimanapun keseluruhannya tiga orang gagal diselamatkan dan meninggal dunia walaupun dengan usaha bantuan pernafasan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.