SHAH ALAM: Notis tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin UMNO terhadap Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tidak membawa kepada pemilihan semula parti kerana keputusan tersebut tertakluk kepada Jawatankuasa Bantahan.
Malah, pemilihan semula juga tidak semestinya dilakukan sehingga seseorang ketua yang dipilih itu berdepan dengan pertuduhan mahkamah sehinggalah ia dibuktikan bersalah.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin, berdasarkan surat yang tular dalam media sosial itu, Jamal dipanggil untuk memberikan penjelasan terhadap segala dakwaan yang dinyatakan di dalamnya.
“Ada dua keputusan yang lembaga disiplin boleh buat, pertamanya selepas mendengar dan melihat segala bukti, keterangan apa juga penjelasan dikemukakan. Hukuman pula pelbagai bentuk, ada amaran, penggantungan, perlucutan keahlian dan sebagainya menurut perlembagaan parti dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
“Jadi, saya ingat kita serahkan kepada lembaga disiplin dan biarlah proses itu berlaku. Apakah kesan kepada jawatan, kalau didapati tidak bersalah, maka tidak ada apa-apa kesan terhadap jawatan tersebut. Kalau didapati bersalah, ia bergantung kepada bentuk hukuman dikenakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Jamal dipercayai dipanggil hadir bagi pendengaran Lembaga Disiplin apabila didakwa menyogok 12 orang perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti pada 18 Mac lalu.
Dalam pada itu, Imran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang memaklumkan pemilihan semula akibat didapati bersalah oleh lembaga disiplin parti jarang berlaku dan UMNO mempunyai struktur dan tertib yang jelas sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap ketua bahagian. S
Sementara itu, Jamal ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berkenaan dakwaan tersebut dan memberitahu masih belum menerima surat tersebut. -UTUSAN










