PETALING JAYA: Industri e-hailing mahu kerajaan berbincang dengan semua pemain gig bagi menentukan harga siling perkhidmatan pemandu dan penghantar.
Terdapat kira-kira 100,000 pemandu e-hailing termasuk sepenuh dan separuh masa masih menunggu tuntutan mengenai hak mereka dilaksanakan, perkara sama juga dinanti oleh 60,000 pekerja p-hailing.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Presiden Persatuan Pemandu Grab (GDMA), Mohd. Azril Ahmat berkata, penetapan harga siling bagi perkhidmatan pemandu dan penghantar makanan e-hailing sudah lama diperjuangkan pihaknya.
Katanya, alasan utama pihaknya memperjuangkan isu penetapan harga siling adalah demi keselamatan pemandu, penumpang dan penghantar yang berusaha keras mencari rezeki tambahan.
“Logiknya di sini adalah apabila harga dicaj oleh operator rendah secara automatiknya masa bekerja menjadi lebih panjang, contoh jika sebelum ini hanya empat jam diperuntukkan untuk memperoleh sekitar RM300 sehari mungkin masanya menjadi sekitar enam hingga tujuh jam berdasarkan kadar dibayar sekarang.
“Selain itu, waktu bekerja yang semakin panjang menyebabkan pemandu keletihan sehingga boleh mengakibatkan risiko kemalangan.
“Ia juga mengakibatkan kos penyelenggaran pemandu meningkat. Oleh itu, hanya dengan penetapan harga syiling perkhidmatan dapat menjamin keselamatan mereka,” katanya di sini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memandang serius berhubung rungutan orang ramai terhadap kenaikan mendadak tambang perkhidmatan e-hailing.
Malah, tahun lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan segera mengawal harga tambang e-hailing dengan menetapkan siling harga yang munasabah untuk pengguna dan pemandu.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kenaikan harga itu membebankan kerana sesetengah pihak tidak mempunyai pilihan selain menggunakan perkhidmatan e-hailing.
Sebelum ini, terdapat laporan mengenai tambang perkhidmatan e-hailing meningkat hingga 400 peratus pada waktu puncak sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna kerana disifatkan tidak masuk akal sekali gus menggesa campur tangan kerajaan antara lain berkaitan kawal selia harga.
Dalam pada itu, Mohd. Azril berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, pihaknya ada dimaklumkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bahawa satu perbincangan akan dilaksanakan dengan wakil persatuan industri e-hailing.
“Perbincangan tersebut difahamkan adalah berkaitan pelbagai isu berbangkit termasuk penetapan harga syiling perkhidmatan.
“Sebelum PRU lepas kami ada menghantar memorandum kepada semua parti yang bertanding untuk meminta memperjuangkan nasib pemandu dan penghantar e-hailing terutamanya dalam isu penetapan harga syiling.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada usaha oleh pihak berwajib untuk mengadakan perbincangan dengan wakil persatuan untuk mendapatkan gambaran jelas berhubung perkara berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Uber, Grabcar dan Zepp On, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail turut menyuarakan nada yang sama, namun berpendapat semua pihak perlu memberi masa kepada kerajaan yang baru berusia lima bulan.
Menurutnya, setakat beberapa bulan mentadbir, beliau mendapat terdapat beberapa perubahan baik yang dibawakan antaranya adalah pemandu dan penghantar e-hailing diwajibkan membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Perjuangan terhadap isu penetapan harga syiling perkhidmatan itu tetap diteruskan namun saya berpendapat kerajaan ini harus diberi masa untuk meneliti perkara tersebut sebelum membawa suatu penyelesaian terbaik.
“Bagaimanapun, kami tetap berpendapat bahawa kadar diterima oleh pemandu dan penghantar e-hailing adalah tidak masuk akal malah membebankan.
“Pada sesuatu situasi, perkhidmatan mereka amat tidak berbaloi dengan jumlah yang diperoleh berdasarkan kadar yang ditetapkan sendiri oleh pihak operator,” katanya. – UTUSAN









