Tambah 10 lagi pasar tani khas sempena Syawal - Utusan Malaysia

Tambah 10 lagi pasar tani khas sempena Syawal

MOHAMAD SABU (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada golongan petani pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir kawasan Parlimen Sri Gading di Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menambah 10 lagi pasar tani untuk Jualan Khas Syawal Madani bermula Sabtu ini. 

Sebelum ini, FAMA mengumumkan akan membuka 103 pasar tani di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai, khususnya umat Islam membeli keperluan bagi menyambut lebaran. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penambahan pasar tani itu juga dibuat selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan masalah kenaikan barangan diatasi selain keterjaminan makanan mencukupi. 

“FAMA juga akan berusaha untuk mencukupkan barang itu (makanan) termasuk ikan, sayur, minyak masak dan barang-barang utama yang diperlukan,” katanya selepas menyampaikan bantuan banjir kepada golongan petani dalam kawasan Parlimen Sri Gading yang turut dihadiri Ahli Parlimennya, Aminolhuda Hassan, di sini hari ini.

Menurutnya, FAMA kini mempunyai peranan yang besar dalam keterjaminan makanan, terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri, minggu depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya akan membuka 103 outlet pasar tani untuk mengadakan Jualan Khas Syawal Madani bermula 15 April hingga 20 April ini.

Antara barangan yang akan dijual ialah daging, ayam dan sayur-sayuran, manakala daun kelapa untuk dibuat ketupat dijual menjelang Aidilfitri.

Abdul Rashid yakin bekalan barangan keperluan untuk menyambut ketibaan Syawal mencukupi dan pihaknya akan melakukan pemantauan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN