KUALA LUMPUR: MCA menyaran kerajaan menyelesaikan isu melibatkan anak-anak tanpa kewarganegaraan automatik yang dilahirkan wanita warga asing bersama pasangan warganegara Malaysia.
Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong berkata, ketika Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha mahu menyelesaikan 10,000 daripada 150,000 permohonan status kewarganegaraan akhir tahun ini, isu anak-anak terbabit tidak harus dipinggirkan.
Menurut beliau, kebanyakan kes tersebut melibatkan pasangan yang lewat mendaftar perkahwinan selain terdapat kes menyaksikan si ibu melarikan diri ke negara masing-masing seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Kemboja setelah melahirkan anak.
“Kesilapan teknikal bapa dan ibu yang lambat mendaftar perkahwinan mereka tidak boleh diletakkan di atas bahu si anak untuk menanggungnya.
“Anak yang dilahirkan ini tidak mengerti, tidak boleh dipersalahkan dan dihukum dengan tidak diberi status kewarganegaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, kata Choo Seong, keadaan itu menyebabkan anak-anak yang dilahirkan oleh pasangan tersebut tidak dapat menikmati kehidupan sempurna dan menyukarkan perjalanan hidup mereka setelah dewasa.
“Di usia kecil, mereka tidak dapat kemudahan seperti rakan-rakan sebaya termasuk mendapatkan pendidikan. Apabila dewasa, mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan menjalani kehidupan biasa seperti orang lain tanpa kerakyatan,” katanya. – UTUSAN