ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengarahkan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri mengeluarkan angka yang tepat dan peratusan tanah rizab Melayu di negeri itu berbanding negeri-negeri lain.
Menurutnya, angka itu akan menafikan gambaran kononnya Kedah adalah negeri paling banyak kehilangan tanah rizab Melayu menerusi jawapan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Beliau mendakwa soalan mengenai tanah rizab Melayu yang dijawab Nik Nazmi sengaja ‘diset’ bagi memberi gambaran kononnya Kedah adalah negeri paling banyak kehilangan tanah rizab Melayu.
“Hakikatnya, Kedah adalah antara tiga negeri yang memiliki tanah rizab Melayu terbesar selain Kelantan dan Terengganu,’’ katanya ketika menyampaikan ceramah di Kompleks Pas Kedah, Simpang Empat di sini, semalam.
Katanya, jawapan Nik Nazmi itu juga mengundang pertanyaan daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang bimbang dengan angka-angka yang dinyatakan di Dewan Rakyat.
“Saya minta pengarah buat mesyuarat, keluarkan angka tepat dan tunjukkan peratusan tanah rizab Melayu di Kedah berbanding keluasan negeri ini. Selain itu, tolak juga keluasan tanah hutan simpan yang seluas 341,000 hektar di Kedah,’’ katanya.
Dalam sidang Parlimen pada 29 Mac lalu, Nik Nazmi memaklumkan keluasan kawasan pewartaan tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar pada 2021 kepada 716,537.28 pada tahun lalu.
Selain Kedah, dua lagi negeri yang turut mencatatkan penurunan jumlah keluasan tanah rizab Melayu adalah Perak dan Kuala Lumpur.- UTUSAN










