REMBAU: Sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas rumah mereka terbakar dan musnah sekelip mata dalam kejadian di Kampung Tanjung, Gadong di sini malam tadi.
Bekas imam, Abd. Rahaman Che Teh, 73, berkata, kebakaran melibatkan rumah pusaka arwah isterinya itu berlaku kira-kira pukul 7.28 malam dan dia yang ditemani anak, menantu dan cucu yang seramai 13 orang bergegas keluar dari rumah tersebut ekoran api merebak begitu cepat.
“Rumah memang musnah, kami juga tidak dapat menyelamatkan barangan penting sebab api merebak pantas. Ramai yang menghubungi untuk menghulurkan bantuan termasuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menawarkan kami untuk tinggal sementara di rumah keluarganya yang terletak berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, salah seorang anak Abd. Rahaman memberitahu, pada mulanya terhidu sesuatu yang terbakar sebelum melihat api marak dari stor di belakang rumah sebelum merebak pantas.
“Mujur juga ketika kejadian kami ada serta dapat menyelamatkan ayah. Kebakaran ini telah menyebabkan hampir keseluruhan rumah pusaka tiga generasi ini musnah,” katanya.
Sementara itu, pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Bomba Kanan 1, Moktar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.28 malam dan sebaik tiba di lokasi, api sedang marak.
Menurutnya, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dengan keluasan 100×40 kaki persegi.
“Kebakaran dipercayai berpunca dari bilik stor dan dianggarkan kediaman ini musnah terbakar sebanyak 90 peratus. Seramai 20 pegawai serta anggota dari tiga balai bomba termasuk dari Rembau dan Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya yang memberitahu punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN.