RM400 juta untuk baik pulih jalan negeri Pahang - Utusan Malaysia

RM400 juta untuk baik pulih jalan negeri Pahang

ANWAR Ibrahim (tengah) hadir pada Majlis Penyampaian Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Pahang di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM400 juta kepada Pahang bagi memastikan jalan negeri ini berada dalam keadaan baik.

Ia merupakan sebahagian daripada RM5 bilion peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk penyelenggaraan jalan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Pahang sudah memohon untuk kelonggaran syarat peruntukan MARRIS seperti membolehkan pembelian jambatan ‘Bailey Bridge’ bagi kawasan jambatan yang terjejas akibat banjir.

“Saya terus mengarahkan Kementerian Kewangan meluluskan kelonggaran tersebut dan akan terus membantu kerajaan negeri untuk mengoptimakan pemberian yang disalurkan serta menyokong usaha membaikpulih kemudahan awam yang terkesan akibat banjir,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Pahang di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan turut menambah peruntukan untuk penyelenggaraan jalan persekutuan bagi tahun ini daripada RM750 juta kepada RM1 bilion.

“Tumpuan akan diberikan kepada membaikpulih jalan berlubang dan yang dirosak banjir serta peruntukan tambahan ini akan diagihkan sepenuhnya untuk dilaksanakan oleh kontraktor kecil Bumiputera,” katanya.

Tambahnya lagi, bermula Disember tahun lalu sehingga Mac tahun ini, hasil kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menunjukkan lonjakan justeru membolehkan kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan tambahan terbabit bagi seluruh negara termasuk negeri ini.

“Hasil kutipan itu melonjak naik dan disebabkan itu saya boleh umumkan peruntukan tambahan ini termasuklah untuk negeri Pahang.

“Tapi saya tumpu sekolah daif, klinik daif, jalan berlubang dan kuarters kakitangan kerajaan yang mana untuk membaikpulih kuarters kerajaan, peruntukan RM1 bilion disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya