Raya suram, anak angkat hilangkan diri - Utusan Malaysia

Raya suram, anak angkat hilangkan diri

AZHAN TAIB dan isterinya menunjukkan salinan laporan polis serta gambar anak angkatnya yang menghilangkan diri di Flat Sri Stulang, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi pasangan suami isteri di Flat Sri Stulang, di sini bertukar suram apabila anak angkat yang dibela sejak kecil tidak bersama pada pagi satu Syawal.

Menurut Azhan Taib, 65, anak angkatnya, Mohamad Daynise Azim Abdullah, 18, yang dijaga sejak berusia dua tahun hilang tanpa berita selepas keluar dari rumah pada 8 April lalu.

Kali terakhir Mohamad Daynise Azim bersama keluarga ketika berbuka puasa di rumah sebelum keluar membawa beg galas kira-kira pada pukul 8 malam memberitahu mahu keluar ke kedai.

Susulan kehilangan anak angkatnya itu, mereka telah membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi, di sini pada hari sama.

“Saya sudah mencari dia di merata-rata tempat dan bertanyakan kawan-kawannya namun tidak membuahkan hasil dan turut merujuk ke hospital sekiranya dia ditimpa kemalangan. Dia anak yang lurus dan baik, ke mana sahaja akan bersama saya malah saya turut mengambil dan menghantarnya ke tempat kerja. 

Saya tak rasa dia dipengaruhi rakan dan melarikan diri begitu sahaja sehingga gagal dihubungi. Saya amat berharap dia pulang ke pangkuan keluarga pada Syawal ini, baju Melayu dia masih tergantung di bilik dan akan sediakan lontong kegemarannya apabila pulang nanti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tahap kesihatannya dan isteri, Juriah Yahya, 66, semakin merosot akibat merindu serta bimbang tentang keselamatan Mohamad Daynise Azim Ayang menghilangkan diri hampir tiga minggu lalu.

Menolak perselisihan faham dalam keluarga menjadi punca kehilangan, Azhan berkata, anaknya yang bekerja sebagai juruwang di sebuah kompleks beli-belah di bandar raya ini disifatkan sebagai seorang anak yang pendiam dan tidak pernah menimbulkan masalah.

Isterinya kini sedih dan kerap teringat anak angkatnya yang dianggap sebagai anak sendiri dan amat berharap dapat dipertemukan semula.

“Saya berharap dia baliklah raya ini, saya sentiasa doakan dia dan sedih mengenangkan dia tak ada, kalau dia ada hilang rasa sunyi di rumah ini. Walaupun saya tak melahirkan dia tapi saya tetap sayang, semoga dia tidak lupakan saya,” katanya sambil meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang anaknya itu supaya menghubungi talian 011-37379036. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya