Bekalan air di Barat Daya dijangka pulih petang ini - PBAPP

Bekalan air di Barat Daya dijangka pulih petang ini – PBAPP

K. PATHMANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangkakan 69,000 pengguna air di 26 kawasan dalam daerah Barat Daya yang terjejas sejak awal pagi tadi akan menerima bekalan air semula menjelang pukul 5 petang ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, ia susulan insiden kegagalan elektrik melibatkan sebuah 11kV Medium Voltage Drive yang menyebabkan Rumah Pam Bukit Dumbar 2 (BD2) terhenti secara tiba-tiba sejak pukul 4 pagi tadi.

“Kemalangan ini menghalang PBAPP daripada mengepam air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kepada pengguna air di daerah Barat Daya khususnya di kawasan dari Gelugor hingga ke Bukit Penara di Balik Pulau.

“Sekitar 6.30 pagi tadi iaitu selepas memulihkan sistem elektrik dengan bantuan TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan kontraktor elektrik, PBAPP memulakan semula (kerja-kerja berkaitan di) Rumah Pam BD2.

“Sejak itu, pasukan kerja PBAPP telah menjalankan kerja-kerja menyahudara di semua saluran paip utama di daerah Barat Daya untuk menyelesaikan isu kunci udara,” katanya di sini, hari ini.

Kawasan utama yang terjejas akibat masalah itu ketika ini adalah di Bayan Baru, Jalan Pondok Upeh, Bayan Lepas, Jalan Teluk Kumbar, Batu Itam Bukit Belah, Jalan Tun Dr. Awang, Bukit Gambir dan Jalan Sungai Tiram.

“Turut terjejas ialah kawasan Bukit Gelugor, Jalan Yeap Chor Ee19, Kampung Matahari Naik, Bukit Jambul, kawasan Lip Sin, Bukit Penara dan lain-lain kawasan,” katanya.

Tambah beliau, kakitangan PBAPP juga beroperasi di bawah protokol pelan respons kecemasan (ERP) untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan bekalan air menjelang pukul 5 petang ini.

“Sehingga 1 tengah hari ini, bekalan air untuk kira-kira 40,000 pengguna (58 peratus daripada pengguna terjejas) telah dipulihkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan harap maklum bahawa kejadian itu adalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang berpunca daripada kemalangan elektrik secara tiba-tiba.

“Ketika ini, PBAPP sedang berusaha secepat mungkin untuk memulihkan bekalan air sepenuhnya.

“Oleh itu, pengguna air yang mengalami masalah bekalan selepas pukul 5 petang hari ini diminta menghubungi Pusat Panggilan 24 Jam PBAPP (no. tel 04-2558255) untuk nasihat dan bantuan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN