BENTONG: Polis menerima dua laporan berkaitan insiden membaling batu ke arah kenderaan di Jalan Mempaga, Lurah Bilut dekat sini yang tular di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, sehubungan kejadian itu, orang ramai dinasihat supaya berhati-hati ketika melalui jalan tersebut.
“Pada 4 April tular gambar dan rakaman video di laman sesawang Facebook ‘Kami Penduduk Bentong (Official)’ berkaitan insiden membaling batu ke arah kenderaan di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat berkenaan, pihak polis sedang memburu suspek yang melakukan perbuatan khianat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, pihak polis bekerjsama dengan penduduk setempat di Felda Mempaga dan Kampung Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lebu untuk membuat rondaan serta pemantauan bagi mengesan suspek.
Kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong menerusi talian 09- 2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, pemilik Facebook, Nur Cahaya Jaafar menulis, perbuatan jahat tersebut semakin menjadi-jadi dan mengganas terutama di laluan RTP Lebu ke Mempaga.
“Malam tadi di laluan sekolah ke RTP Lebu dan Mempaga masih terdapat banyak batu berserakan termasuk di Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), saya percaya perbuatan ini bukan (dilakukan) seorang,” katanya.
Hantaran menerusi Facebook Nur Cahaya Jaafar mendakwa cermin keretanya pecah serta menyebabkannya trauma hendak keluar serta meminta pengguna di lalun itu supaya berhati-hati.
Seorang lagi pemilik akaun Facebook bernama May May menerusi hantarannya berkata, siapa punya kerja, hampir setiap malam ada sahaja kereta kena baling batu dari Jalan RTP-Mempaga.- UTUSAN










