Penuntut kejururawatan maut dirempuh pelajar langgar lampu isyarat - Utusan Malaysia

Penuntut kejururawatan maut dirempuh pelajar langgar lampu isyarat

SEORANG pelatih kolej kejururawatan maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal ditunggang seorang pelajar ketika memasuki simpang ke sebuah pasar raya di Simpang Renggam, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang penuntut sebuah kolej kejururawatan maut akibat kecederaan parah apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal lain di Kilometer 75, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di hadapan Pasaraya Econsave Simpang Renggam, dekat sini. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul  3.45 petang itu melibatkan Nijha Ilhany, 21, yang menunggang motosikal Suzuki dan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Andak, Muhammad Azrul Hakimi, 16, yang menunggang motosikal Modenas Kriss. 

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Ayer Hitam, manakala Muhammad Azrul datang dari arah bertentangan. 

“Ketika membelok masuk ke Pasaraya Econsave, secara tiba Muhammad Azrul yang datang dari hadapan terus merempuh motosikal dinaiki mangsa menyebabkan mereka berdua terpelanting dari kenderaan masing-masing. 

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang datang untuk memberikan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semakan mendapati Muhammad Azrul tidak mempunyai lesen selain melanggar isyarat lampu merah sebelum melanggar mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat, manakala Mohammad Azrul yang turut mengalami kecederaan parah di kepala kini dirawat di hospital sama. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan penjaga Muhammad Azrul juga akan dipanggil untuk direkodkan keterangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN