KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah perbadanan berkaitan kerajaan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM600,000.
Difahamkan, rasuah itu bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender berkaitan kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal iaitu sebahagian daripada projek berjumlah lebih RM15 juta untuk menaik taraf bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 39 tahun hingga 54 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8 malam kelmarin ketika hadir memberikan keterangan.
“Suspek pertama yang juga seorang CEO berusia 52 tahun dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000 daripada sebuah syarikat melalui suspek kedua dan ketiga sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek kerja menaik taraf,” kata sumber.
Timbalan pendakwa raya memohon reman tujuh hari namun setelah mendengar hujahan peguam bela ketiga-tiga suspek, mahkamah membenarkan tahanan reman empat hari.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Peguam, Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau telah dilantik untuk menjadi peguambela bagi ketiga-tiga suspek dalam memberi nasihat undang-undang kepada mereka sebagai persediaan untuk prosiding kes sekiranya dipanggil ke mahkamah untuk membela diri.
“Setakat ini tiada sebarang arahan lanjut untuk menuduh suspek-suspek dalam kes ini,” ujarnya. – UTUSAN










