JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi jaminan isu kesesakan yang kerap berlaku di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) akan dapat ditangani.
Beliau yakin semua agensi kerajaan terlibat, khususnya Jabatan Imigresen dapat menangani isu tersebut dengan sebaik mungkin.
“Saya mendengar dan memahami kekangan dialami oleh Jabatan Imigresen, namun saya percaya dengan kerjasama strategik berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura ini dapat ditangani dengan lebih berkesan, insya-Allah.
“Saya yakin dan pasti dengan pengoperasian yang lebih efisien pada tahap maksimum, bukan sahaja masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, malah akan memudahkan urusan seharian rakyat,” katanya selepas melakukan tinjauan mengejut ke premis tersebut, pagi tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Malaysia, Datu Ken Leben dan Pengarah Kerja Raya (JKR) negeri, Abu Bakar Abd. Aziz.
Onn Hafiz turut berharap Jabatan Imigresen dapat melaksanakan beberapa langkah penyelesaian jangka masa pendek bagi mengatasi masalah kesesakan terutamanya pada waktu puncak.
“Antara langkah itu termasuk memastikan semua kaunter beroperasi pada tahap maksimum; pertukaran syif dilakukan luar waktu puncak serta penggabungan kaunter kereta Zon A, B, C, dan D juga perlu diselesaikan selewat-lewatnya bulan Julai ini.
“Isu kekurangan staf Jabatan Imigresen dan isu pentadbiran seperti bayaran kerja lebih masa pegawai dan anggota juga perlu diselesaikan segera. Selain itu, Jabatan Imigresen dan JKR perlu terus memantau kerja-kerja syarikat konsesi dari segi penyelenggaraan kemudahan awam bangunan dan aset-aset di BSI dan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB),” jelasnya.
Beliau turut meminta kerja-kerja pembersihan melibatkan kebocoran paip yang dilaporkan berlaku di laluan motosikal dilaksanakan segera.
“Susulan aduan yang saya terima semalam dalam laman Facebook, saya telah meminta pihak penyelenggara dan JKR Johor agar kerja pembersihan dilakukan dengan segera. Menurut laporan, air yang meleleh dan bertakung bukan air kumbahan tetapi ia adalah air buangan sinki yang tersumbat. insya-Allah, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan akan terus menyelenggara dan memperbaiki sistem sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN