PORT DICKSON: Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan semalam melakukan pemindahan perubatan (Medevac) ke atas seorang penumpang kapal yang mengalami angin ahmar.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima maklumat daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru yang memaklumkan seorang penumpang kapal Spectrum Of The Seas mengalami strok semasa kapal sedang belayar menuju ke Singapura dari Pulau Pinang.
“Bot Petir 91 yang sedang membuat rondaan rutin di kawasan sekitar telah diatur gerak ke lokasi kapal lebih kurang 3.8 batu nautika barat daya Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Setiba di lokasi, mangsa, Hon Siu Fung, 66, wanita warga Indonesia berada dalam keadaan lemah dan perlu dibawa ke hospital dengan kadar yang segera.
“Mangsa telah dipindahkan ke bot Maritim Malaysia dan dibawa ke Jeti Jabatan Laut, Port Dickson pada pukul 10 malam dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, tambah beliau, selain tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang di laut, pihak Maritim Malaysia juga turut membantu masyarakat atau komuniti maritim membuat penerbangan atau pelayaran ihsan bagi kes-kes kecemasan di laut dan Medevac.
Sebarang kecemasan di laut, sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 yang beroperasi secara 24 jam.-UTUSAN.