Mampukah Azlan Man bangkit kembali?

Mampukah Azlan Man bangkit kembali?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis yang diketuai Datuk Seri Azlan Man kalah semua 18 kerusi sekali gus hilang penguasaan kerajaan negeri buat pertama kali dalam sejarah. Ia juga pencapaian terburuk UMNO di Perlis yang sebelum ini merupakan kubu kuat UMNO.

Kejatuhan UMNO dan BN menyaksikan Azlan kehilangan jawatan sebagai Menteri Besar yang disandang dari 2013 hingga 2022.

Tidak cukup dengan itu, Azlan terus berdepan laluan berliku khususnya dalam karier politik selepas kalah jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, kelmarin, dikejutkan pula apabila bekas Menteri Besar itu didakwa di Mahkamah Se­syen Kangar atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.185 juta.

Beliau bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan tersebut. Mengikut pertuduhan, Azlan didakwa mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Azlan didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.

Beliau juga bakal didakwa atas satu lagi pertuduhan membabitkan kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 selepas ini.

Dalam kehidupan peribadi, Azlan juga terpaksa menempuh dugaan rumah tangga apabila berdepan tuntutan mahkamah yang difailkan bekas isteri, Sova Ali, 40, sebelum ini.

Sova yang dikahwini Azlan pada 2010 memfailkan dua tuntutan mutaah dan nafkah berjumlah RM15.34 juta pada November tahun lalu, susulan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu menceraikannya tanpa sebab dan tanpa kebenaran mahkamah.

Azlan dan Sova yang juga wanita warga Indonesia sah bercerai talak satu pada 25 Ogos tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat selepas melayari bahtera perkahwinan selama 12 tahun.

Azlan mula melangkah ke dunia politik pada 2013, selepas meninggalkan dunia pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang dilaluinya sejak 1983.

Beliau mengambil keputusan menamatkan kariernya di sektor perkhidmatan awam itu dan bertanding dalam PRU13 dengan menang kerusi DUN Pauh sekali gus dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ketujuh.

Perjalanan politik Azlan di Perlis agak berliku dan penuh cabaran kerana pada masa itu masih dibayangi legasi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kemelut itu tidak pernah berakhir sehinggakan UMNO Perlis ketika itu digambarkan diterajui dua kepala iaitu Azlan selaku teraju kerajaan negeri, manakala Shahidan masih kuat mempengaruhi parti.

Bagaimanapun, selepas Shahidan dipecat daripada parti selepas bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15, perjalanan politik Azlan seolah-olah mampu kembali bersinar untuk mencorakkan semula UMNO Perlis, bagaima­napun perkara itu tidak terjadi selepas kekalahan teruk parti tersebut di negeri ini.

Selepas menempuh liku-liku perjalanan khususnya di dalam politik, adakah Azlan mampu bangkit kembali atau karier politiknya akan terus berakhir? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×