PETALING JAYA: Lebih 37 juta saman tertunggak dianggarkan bernilai RM5.6 bilion direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh 33 tahun.
Jumlah saman membabitkan pelbagai jenis kesalahan trafik yang dikeluarkan kepada pesalah warga tempatan serta warga asing sejak tahun 1990 hingga 2022.
Bercakap Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, dalam tempoh tersebut, antara saman tertinggi direkodkan adalah kesalahan memandu melebihi had laju dan menghalang lalu lintas.
Selain itu, katanya, tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat juga saman paling banyak dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.
“Pada tahun lalu, sebanyak 4.2 juta kompaun saman dikenakan terhadap pesalah jalan raya dengan nilai bayaran dianggarkan RM630 juta.
“Justeru, Kadar Khas Bayaran Saman RM50 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat membantu orang awam menjelaskan saman yang tertunggak sekian lama,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Mat Kassim, kadar khas RM50 itu layak terhadap semua saman trafik untuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya kecuali saman yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah kerana di luar bidang kuasa pihak polis.
Jelasnya, pihak PDRM tidak menetapkan had jumlah saman trafik yang boleh dibayar oleh orang awam dalam tempoh itu serta mengalu-alukan mereka untuk menjelaskan kesemua saman yang ada.
“Ini kerana kadar bayaran khas itu untuk semua jenis kesalahan dan berbeza dengan tawaran diskaun sehingga 60 peratus sebelum ini sempena Peringatan Hari Polis ke-216, baru-baru ini,” katanya.
Bermula hari ini hingga 21 Mei nanti, orang awam boleh membayar saman terbabit secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara pada hari bekerja.
Selain itu, pembayaran boleh dilakukan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank di seluruh negara dan semua kaunter Pejabat Pos Malaysia.
Selasa lalu, Anwar mengumumkan Kadar Khas Bayaran Saman sebanyak RM50 bagi semua saman trafik tahun 2022 dan sebelumnya, bermula 21 April hingga 21 Mei. – UTUSAN










