Langkawi tiada air, penduduk keluh-kesah - Utusan Malaysia

Langkawi tiada air, penduduk keluh-kesah

FARANADIATUL Wahyu Zulkaple menunjukkan pili di rumahnya di Taman Dayang, Langkawi yang tiada air semalam. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk di sebahagian pulau peranginan ini keluh-kesah sehingga ada yang menumpang mandi di pejabat atau kawasan lain sejak tiga hari lalu.

Tinjauan di beberapa kawasan mendapati, rata-rata penduduk mengalami masalah itu sejak 30 Mac apabila notis kecemasan gangguan bekalan air dikeluarkan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Seorang pengguna, Raja Zurfarhayanie Zaty Raja Zaharudin, 33, yang tinggal di Kampung Belanga Pechah berkata, dia sudah hampir tiga hari tidak membasuh pinggan kerana tiada air dan semalam terpaksa mandi di tempat kerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Notis SADA hanya sebut sehari saja masalah bekalan air, tetapi sehingga hari ini kami belum mendapat bekalan air dan tiada lori air dihantar ke kawasan rumah untuk mengurangkan bebanan kami.

“Semalam ada penduduk yang membuka pili bomba untuk mengambil air, jadi saya terpaksa berulang alik sejauh 300 meter untuk menadah air agar dapat digunakan di rumah kami,” katanya ketika ditemui semalam.

Faranadiatul Wahyu Zulkaple, 34, di Taman Dayang, di sini berkata, dia sempat menadah tiga tong berisipadu 45 liter air pada awal pagi hari notis terbabit dikeluarkan.

“Saya sudah banyak kali menelefon SADA di Langkawi untuk menyelesaikan isu air sejak saya tinggal di sini, tetapi staf hanya menyuruh saya memasang tangki air di rumah.

“Selalunya air ada setengah jam atau sejam pada waktu Su­buh tetapi kali ini bekalan air terputus terus tiga hari berturut-turut,” ujarnya.

Sementara itu, Suhana Abdullah, 55, yang tinggal di taman sama berkata, tangki air simpanan di rumahnya sudah habis apabila tiga hari bekalan air terputus.

“Di taman ini ada beberapa tangki air SADA tetapi baru semalam (Sabtu) mereka datang mengisi air walaupun bekalan air terputus sejak kelmarin.

“Tangki itu pula sangat kecil dan tidak mencukupi untuk ke­gunaan taman.

“Tangki itu juga langsung tidak dicuci dan air yang diambil dari tangki sangat kotor dan tidak boleh digunakan untuk memasak atau membasuh,” luahnya dengan meluahkan kecewa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×