JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor terlepas hukuman gantung apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar heroin seberat 7.8 kilogram (kg), lima tahun lalu.
Wong Shee Kay, 53, yang merupakan kontraktor perabot dan renovasi turut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin seberat 19.4 kg, pada tarikh dan lokasi sama.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Berdasarkan hasil penilaian daripada semua keterangan yang dikemukakan di mahkamah, tiada bukti atau fakta relevan untuk mengaitkan tertuduh dengan dadah yang ditemui.
“Dadah terbabit ditemukan dalam bonet Toyota Camry milik kakak tertuduh dan walaupun tertuduh mempunyai kunci serta alat kawalan jauh, namun ia tidak boleh digunakan untuk membuka bonet kereta itu.
“Bonet itu perlu diumpil dan tertuduh juga bukan pemilik kereta atau kediaman berkenaan. Jarak antara kereta ditemui dan tertuduh ditahan juga agak jauh dan memakan masa hampir 30 minit perjalanan. Tiada keterangan yang menunjukkan tertuduh berada di Jalan Saga 16, iaitu tempat kereta ditemui di hadapan sebuah rumah.
“Selepas meneliti nota prosiding yang dihujahkan kedua-dua pihak, secara maksimum mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, mahkamah membuat keputusan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Shee Kay didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 7.8 kg di Jalan Saga 16, Taman Desa Cemerlang di sini pada pukul 3.30 pagi, 30 Oktober 2018, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 19.4 kg di lokasi dan waktu yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seramai 10 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes itu berlangsung. Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nasrudin Mohamed, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying. – UTUSAN