KUALA LUMPUR: Pencerobohan data maklumat sulit kerajaan mahupun orang awam meningkat 50 peratus iaitu daripada 50 insiden pada tahun 2022 kepada 102 insiden setakat Mac lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, peningkatan berpunca daripada kecanggihan daya serangan sekali gus tahap keselamatan yang ada tidak dapat melindungi data-data sulit berkenaan.
Menurut beliau, jumlah 102 kes pencerobohan menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu apabila hanya merekodkan 50 insiden berbanding 102 hanya setakat Mac lalu.
“Sebanyak 50 insiden ‘Berkaitan Kandungan’ melibatkan ketirisan data dilaporkan sepanjang 2022 dan 102 sehingga Mac 2023, di mana data-data sulit dan sensitif seperti Maklumat Pengenalan Peribadi (Personal Identifiable Information – PII), dokumen sulit dan rahsia organisasi, maklumat kelayakan log masuk (login credentials) dan sebagainya disebarkan dan dijual ke sesuatu forum atau Dark Web dengan tujuan jahat.
“Trend ketirisan data ini bukan hanya di Malaysia, tetapi juga berlaku di luar negara. Namun peningkatan jumlah kes yang berlaku ini adalah kerana tahap keselamatan kita tidak mampu menampung serangan yang semakin canggih untuk melindungi data peribadi daripada digodam,” katanya ketika dihubungi.
ORGANISASI
Justeru, kata beliau, pernilaian keselamatan perlu dipertingkatkan oleh sesebuah organisasi yang terlibat dalam melindungi kebocoran yang mungkin boleh berlaku.
“Kita sudah tidak boleh menggunakan kaedah tradisional mahupun konvensional. Ibaratnya seperti keselamatan di rumah, kalau dulu kita menggunakan pagar, tetapi sekarang kita perlu ada kamera litar tertutup (CCTV), pintu pagar yang lebih berkualiti dan sebagainya,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, dalam hal ini, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bertanggungjawab memastikan tiada kebocoran data sektor kerajaan terdedah kepada pihak luar.
Sementara itu, kata beliau, bagi maklumat peribadi orang awam pula, ia di bawah tanggungjawab Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) di bawah Kementerian Komunikasi Digital.
“Ia terletak di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan mereka bertangungjawab atas segala transaksi komersial yang menggunakan data peribadi rakyat.
“Kita memang tidak pernah bincang dari sudut kesan negatif berhubung keselamatan di alam maya, tetapi kita perlu ingat yang ia adalah serampang dua mata di sebalik kecanggihan sistem pendigitalisasi dalam negara,” kata beliau. – UTUSAN










