Kes SRC Najib berakhir

Kes SRC Najib berakhir

Penyokong Najib Tun Razak melambai tangan ketika kenderaan membawa bekas Perdana Menteri itu meninggalkan Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menye­mak semula sabitan kesalahan dan hukuman kes penyelewe­ngan dana SRC International Sdn. Bhd. berakhir selepas Mah­kamah Persekutuan menolak rayuannya semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Ka­nan, Datuk V Sithambaram ber­kata, bekas Perdana Menteri itu telah menggunakan ke­semua sa­luran dalam usaha­nya mendapat­kan kebenaran me­nyemak te­ta­pi keputusan mah­kamah me­­nan­dakan penutupan kes tersebut.

Katanya, kes tersebut juga mem­beri mesej kepada ahli politik lain atau mungkin pesalah ba­hawa tiada orang di negara ini yang berada di atas undang-undang.

“Keputusan hari ini juga men­jadi bukti bahawa pertuduhan terhadapnya dibuat secara sah dan tidak bermotifkan politik seperti yang didakwa sese­tengah pihak.

“Tiada kegembiraan yang le­bih besar untuk pihak pendakwaan selain memastikan ke­dau­latan undang-undang telah di­gu­na pakai dalam kes ini.

“Kes ini juga memberi mesej kepada ahli politik lain atau mung­kin pesalah bahawa tiada orang di negara ini yang berada di atas undang-undang.

“Pendakwaan ini harus meng­hantar mesej yang tegas kepada semua bakal pesalah bahawa undang-undang akan mengejar anda,” katanya dalam sidang akh­bar di lobi mahkamah, sema­lam.

Semalam, Najib yang juga bekas Presiden UMNO gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atasnya.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang memutuskan keputusan majoriti 4-1 berhubung permohonan semakan itu sekali gus menutup peluang beliau untuk bebas daripada kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Nordin Hassan menyokong.

Bagaimanapun, ketua panel tersebut Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut.

Dalam alasan hujah penghakiman, keempat-empat ha­kim Mahkamah Persekutuan yang menyokong menyatakan Najib adalah ‘pengarang’ nasib malangnya sendiri.

Walaupun cenderung untuk mengambil pendekatan berbe­za, mereka tidak boleh menyatakan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan rayuan akhir itu kerana ia bukan alasan bagi permohonan kebenaran semakan berkenaan.

Sementara Abdul Rahman dalam penghakimanya berkata, sabitan salah terhadap Najib wajar diketepikan selepas bekas Perdana Menteri itu tidak diwakili oleh mana-mana peguam dalam rayuan akhirnya.

Menurut beliau, tiada sebarang alasan yang diberikan sebagai justifikasi kenapa bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak boleh mendapat sebarang penangguhan memandangkan beliau tidak lagi diwakili peguam selepas peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Pok Teik menarik diri.

Najib memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan itu pada 6 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau memfailkan permohonan semakan tersebut atas alasan antaranya tidak mendapat perbicaraan yang adil dan berlaku konflik kepentingan membabitkan Hakim Tengku Maimun.

Pada 23 Ogos 2022, Hakim Tengku Maimun bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (ketika itu) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada hari yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN