Kerjasama rentas kementerian untuk hapus peranan orang tengah

Kerjasama rentas kementerian untuk hapus peranan orang tengah

SALAHUDDIN AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerjasama ren­tas kementerian akan menjadi kunci kepada usaha serius yang diambil kerajaan dalam menghapuskan peranan orang tengah yang cuba mengambil keuntungan berlebihan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui peranan orang tengah menjadi punca berlaku kenaikan harga barang sehingga membebankan pengguna.

Beliau berkata, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu usaha dilakukan bagi mengurangkan peranan orang tengah akan digerakkan kementeriannya.

“KPDN sendiri akan mengambil tanggungjawab supaya kerjasama antara kementerian dan agensi kerap diadakan untuk menjayakan usaha ini.

“Apabila barang bekalan dibawa terus dari pengeluar atau peladang, maka pengguna akan dapat barangan seperti ikan jauh lebih murah tanpa orang tengah. Namun ini satu cabaran besar untuk dijayakan dengan berkesan.

“Kalau isu orang tengah ini tidak diuruskan sebaiknya, maka itu yang boleh mengakibatkan barangan menjadi tinggi dan membebankan pengguna,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Anwar berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengawal harga barangan termasuk melaksanakan penjualan terus tanpa pembabitan orang tengah dan situasi itu boleh dilihat jika barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau bahan mentah dibawa terus dari ladang.

Menurut Perdana Menteri, penghapusan peranan orang tengah boleh dilaksanakan dengan cara mengadakan pasar-pasar tani atau projek-projek seperti jualan agro bazar untuk mengawal harga barang.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, KPDN sentiasa mengadakan libat urus dan kolobrasi antara kementerian kerana isu sebesar itu pihaknya mengakui tidak boleh bertindak silo.

Selain kerjasama dengan MAFS, kata beliau, kolobrasi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan diperbanyak melibatkan barangan import.

Pada masa sama, beliau berkata, Konsep Rahmah terus diperluas dan kini pihaknya melancarkan jualan rahmah di sebuah kilang memproses bahan-bahan asas makanan seperti santan, kicap dan sebagainya.

“Dalam menjayakan menu rahmah, kita melibatkan vendor dan kedai-kedai. Kali ini nampaknya pengilang sendiri menawarkan harga rahmah.

“Bayangkan kalau pengilang memberikan harga dikatakan harga rahmah, sudah pasti vendor dapat beli barang murah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN