JOHOR BAHRU: Seorang kerani yang didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dua hari lalu sekali lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan menerima wang tunai RM24,738 pada 2020 dan 2021.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Nurul Syahirah Omar, 31, mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Mersing didakwa bersetuju menerima wang berjumlah RM24,738 menerusi akaun Maybank miliknya daripada seorang kontraktor berusia 46 tahun tanpa balasan.
Perbuatan itu diketahui wanita terbabit yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai pembantu tadbir di jabatan itu.
Tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan itu di Maybank Islamic Berhad, Taman Nusa Bestari di sini, antara 24 November 2020 hingga April 2021.
Dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.
Terdahulu, Nik Lokman Hakim mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam bela memohon anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang minimum.
“Tertuduh kini bertugas di Pejabat Kadi Daerah Kulai dengan jawatan yang sama dengan pendapatan tertuduh hanya antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dan mungkin akan digantung tugas. Tertuduh mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun dan suaminya yang akan menjadi penjamin hanya bekerja sebagai buruh binaan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan16 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kelmarin, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi enam pertuduhan menggunakan jawatannya sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 di JPS Daerah Mersing untuk mendapatkan suapan berjumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN