Keputusan pengampunan Najib terserah kepada Agong - Amanah  - Utusan Malaysia

Keputusan pengampunan Najib terserah kepada Agong – Amanah 

MOHAMAD Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong  membuat  keputusan berhubung pengampunan diraja kepada  bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Presidennya, Datuk Seri Mohammad Sabu berkata, kenyataan daripada mana-mana ahlinya tidak mewakili suara parti namun masing-masing mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan.

“Dalam kes melibatkan Najib, kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong.

“Semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada kerajaan perpaduan.

“Dalam masa sama, kerajaan perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,” katanya menerusi kenyataan media.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menerusi satu kenyataan sehari sebelum Lembaga Pengampunan bersidang dilapor sebagai berkata, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam masa sama, Khalid juga memaklumkan UMNO Kelantan perlu menghormati pendirian berbeza Amanah yang membantah pengampunan diraja  kepada bekas perdana menteri itu.

Respon kepada pendirian Khalid, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman menggesa bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu memohon maaf atau berdepan penarikan balik kerjasama antara Amanah dengan UMNO di Kelantan.

Dalam kenyataan sama, Mohammad berkata, menjadi kebiasaan untuk mana-mana ahli dalam parti politik memberi pandangan sendiri.

“Pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti. Inilah ‘normal practice’ dalam mana-mana organisasi. Setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan.

“Namun dalam konteks organisasi, pandangan individu tidak mewakili organisasi atau parti melainkan ia adalah keputusan rasmi parti tersebut yang diputuskan dalam mesyuarat parti.

 “Parti Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH tertakluk kepada keputusan PH yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN