SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran berusia 16 tahun didakwa telah dicabul oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri di Nilai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati kejadian pada pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa yang sedang berbual dengan rakannya di hadapan lif telah didatangi oleh seorang lelaki yang merupakan pengawal keselamatan di pangsapuri tersebut.
“Pengawal keselamatan tersebut telah menyuruh rakan mangsa pulang ke rumah dan seterusnya dia telah menghantar mangsa pulang ke rumahnya.
“Dalam perjalanan pulang ke rumah, suspek telah memegang beberapa bahagian tubuh mangsa serta meminta mangsa untuk mencium pipi suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Malik berkata, mangsa yang ketakutan kemudiannya telah lari pulang ke rumah dan seterusnya datang ke Balai Polis Nilai untuk membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Ahmad Kamil Rusli bagi di talian 06-7904222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, bapa mangsa berusia 44 tahun yang tidak mahu dikenali berkata, kejadian itu membuatkan anaknya yang merupakan OKU masalah pendengaran berdepan trauma.
Menurutnya, dia berharap suspek dapat ditahan segera dan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Saya tahu kejadian ini selepas anak sulung beritahu yang adiknya dicabul. Kedua-dua anak saya memang tinggal di situ dan anak saya masih terkejut dengan kejadian berlaku,” katanya.-UTUSAN.