PUTRAJAYA: Minggu lalu, ramai gempar dengan tangkap layar hebahan elektronik Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur yang memaparkan akhir Ramadan pada 20 April ini.
Paparan itu tular kerana ia menunjukkan seolah-olah senario ‘panik’ tahun lalu bakal berulang apabila anak bulan Syawal tiba-tiba kelihatan dan keesokan Hari Raya Aidilfitri.
Susulan situasi itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan yang menasihatkan umat Islam agar tidak membuat spekulasi sehingga mencetuskan keresahan masyarakat.
RAJA-RAJA
Sebaliknya mereka diminta akur ketetapan yang bakal diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
Walau bagaimanapun, lain pula kisahnya apabila Jabatan Mufti Selangor menghantar infografik sebagai rujukan isu tarikh Hari Raya Puasa.
Ramai kurang berminat dengan analisis hisab atau kiraan awal yang memaparkan hilal Syawal dijangka tidak memenuhi imkanur rukyah atau kriteria penampakan kedudukannya.
Berdasarkan maklumat disiar jabatan tersebut dengan data dari Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam, altitud atau ketinggian anak bulan dari matahari ialah dua darjah 11 minit.
Sementara elongasi atau jarak lengkung pusat bulan dengan matahari diunjurkan pada kedudukan dua darjah 37 minit, sekali gus gagal menepati imkanur rukyah yang ditetapkan.
Kriteria baharu yang mula diguna pakai sejak 2021 itu mengkehendaki altitud mesti tidak kurang daripada tiga darjah, manakala elongasi pula harus lebih enam darjah 24 minit.
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Selangor memberi bayangan awal umat Islam di Malaysia akan berpuasa genap 30 hari.
Jadual waktu solat untuk di Selangor sepanjang bulan ini dengan paparan tarikh 30 Ramadan diunjurkan pada 21 April.
Namun, jabatan berkenaan juga memasukkan ayat bahawa tarikh dipaparkan itu tetap tertakluk pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Ia bergantung hasil laporan daripada 29 lokasi diwartakan oleh Majlis Raja-Raja sejak 1972 yang telah menetapkan kaedah rukyah atau cerapan hilal selain juga kriteria hisab.
Di Selangor, tiga lokasi pencerapan anak bulan ialah Bukit Melawati, Bukit Jugra dan Balai Cerap Sabak Bernam. – UTUSAN










