PETALING JAYA: Lagak empat remaja yang merempit di sekitar ibu negara memakan diri apabila dicekup polis, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, aksi penunggang motosikal itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota JSPT kira-kira pukul 1.30 pagi menerusi operasi Op Selamat 20/2023.
Menurut beliau, pihak polis menahan empat lelaki berusia 16 hingga 21 tahun secara berasingan di sekitar ibu negara.
“Operasi yang dijalankan mendapati penunggang terbabit melakukan aksi berbahaya seperti ‘superman’, bersaing sesama sendiri dan zig zag.
“Tindakan sitaan telah diambil ke atas empat motosikal iaitu dua ialah Honda EX5 dan dua lagi Yamaha LC,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, tindakan terhadap empat remaja itu diambil di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ibu bapa agar dinasihatkan agar memantau kegiatan anak-anak terutama pada sebelah malam bagi mengelakkan mereka terjerumus dengan kegiatan tidak sihat,” katanya.- UTUSAN