KULAI: Dua tahanan yang melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Ledang pada 11 April lalu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh, Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40, dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/1963, iaitu dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, Kulai pada pukul 10.50 pagi, 11 April lalu.
Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan ibu bapa yang sudah uzur dan anak kecil di kampung halaman di Indonesia.
Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal atas kesalahan kerana telah membazirkan wang kerajaan dalam usaha mencari selain menyusahkan banyak pihak.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara bermula dari tarikh tangkapan. Terdahulu, mereka telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian itu, seramai tiga orang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah ditugaskan membawa empat warganegara Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan.
Semasa dalam perjalanan, dua suspek, iaitu Haji Samirudin dan Riki Rinaldi berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van sebelum bertindak melarikan diri masuk ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang.
Namun, kedua-dua suspek berjaya ditangkap semula dalam tempoh 24 jam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian dengan kedua-dua tahanan telah menukar baju lokap yang dipakai dengan t-shirt dan jeans dipercayai dicuri. – UTUSAN