Dua lelaki Indonesia antara sembilan ditahan jual mercun - Utusan Malaysia

Dua lelaki Indonesia antara sembilan ditahan jual mercun

SEMBILAN individu termasuk dua lelaki Indonesia antara yang ditahan kerana menjual mercun tanpa permit dalam sembilan serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Dua warga Indonesia antara sembilan individu yang ditahan kerana menjual mercun tanpa permit dalam sembilan serbuan berasingan di sekitar daerah ini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pelbagai jenis mercun bernilai RM30,000 dirampas daripada mereka termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 50 tahun dalam serbuan bermula pukul 8.30 hingga 11.30 malam itu.

“Sebanyak 16 kotak besar dan empat plastik yang mengandungi pelbagai jenis mercun dirampas, dipercayai dijual tanpa permit. Hasil siasatan mendapati kesemua premis yang diserbu itu tidak memiliki permit menjual mercun dan bunga api.

“Semakan rekod juga mendapati dua individu mempunyai rekod lampau kes jenayah dan seorang daripadanya berstatus orang dikehendaki bersabit dengan kes jenayah komersial,”katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api.

Dua lelaki warganegara Indonesia turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Hussin memberi amaran bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut dan mengingatkan supaya tidak menjalankan apa-apa penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan permit daripada pihak polis terlebih dahulu dan berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN