Dua anggota polis parah ditikam pengedar dadah 

Dua anggota polis parah ditikam pengedar dadah 

MUHAMAD Zaki Harun (depan) bersama anggotanya menunjukkan dadah yang di rampas semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera parah selepas ditikam pengedar dadah di tepi jalan di Kampung Siput Meranti, Pasir Mas, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, Mohammad Arif Ismail, 28, mengalami kecederaan parah di bahagian belakang serta luka di pergelangan tangan kanan serta pipi kiri.

Seorang lagi anggota, Aminullah Islahudin,29, turut mengalami kecederaan parah di lengan kiri serta luka pada paha dan tangan.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berkata kedua-dua anggota berkenaan bertugas di bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Nakortik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama beberapa anggota lain telah melakukan serbuan di lokasi selepas menerima maklumat berkait dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Ketika kejadian, anggota bertugas telah melihat seorang lelaki sedang membimbit satu plastik berwarna hitam di tepi sebuah motosikal berwarna hitam.

“Semasa cuba menahan suspek yang berusia 30 tahun itu, berlaku pergelutan dimana lelaki tersebut memegang sebilah pisau yang telah diubahsuai. Pergelutan itu menyebabkan dua anggota terbabit mengalami kecederaan akibat ditikam oleh suspek ,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, selang beberapa minit, suspek berjaya ditahan dalam pergelutan tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas plastik hitam yang dibawa suspek telah menemukan 12,000 biji yang disyaki pil kuda serta  282.9 gram dadah jenis heroin.

“Anggaran nilai rampasan dadah berkenaan adalah bernilai RM232,000 dan jumlah ini boleh digunakkan oleh seramai 14,829 penagih.

“Hasil ujian kencing mendapati suspek positif Methamphetamine, serta mempunyai dua rekod lampau,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 20 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warganegara Thailand yang berusia 27 tahun bersama 30,000 biji pil kuda yang bernilai RM330,000 di tepi Sungai Golok di Rantau Panjang pada Selasa lalu.

Katanya, lelaki tersebut ditahan pukul 7 malam itu selepas terserempak dengan anggota yang sedang membuat rondaan.

“Suspek yang tidak fasih berbahasa Melayu ini ditahan reman selama 14 hari bermula 12 April sehingga 25 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya