ALOR SETAR: Menyesali perbuatan yang dilakukan sehingga terpaksa meringkuk dalam penjara tidak memadam keinginan seorang banduan untuk bersalaman dengan ibu bapanya untuk memohon kemaafan di pagi raya.
Wanita yang dikenali sebagai Nur, 26, itu dijatuhi hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh bayi yang baru dilahirkannya, enam tahun lalu.
Dia kini dalam proses rayuan terhadap hukuman tersebut yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, sebelum ini.
“Hati saya meronta-ronta mahu keluar dari sini agar dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga, namun apakan daya apabila terpaksa lalui ujian perit jalani hidup di sebalik tirai besi ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran dan Berbuka Puasa peringkat Penghuni Penjara Pokok Sena, semalam.
Menurut Nur, setiap kali tiba bulan Ramadan dan hari raya, hatinya terlalu sayu kerana amat merindui ibu bapa dan tiga adiknya setelah sudah enam tahun dia beraya di penjara bersama banduan lain.
“Hati saya pedih dan sakit kerana terkurung di sini dan tidak dapat beraya bersama keluarga. Saya teringin makan sambal udang dan sambal sotong dimasak ibu. Tetapi apa sahaja keinginan, saya hanya boleh simpan dalam hati kerana tidak tahu sampai bila akan berada dalam penjara,” katanya.
Mengimbau detik hitam yang menjadi igauan buruk terhadapnya, Nur sehingga kini tetap teringatkan arwah anak lelakinya yang dinamakan Muhammad. “Hanya kerana cinta dan terlalu ikutkan nafsu, saya terlanjur dengan teman lelaki sehingga melahirkan bayi di tandas asrama kolej sebelum didapati bersalah membunuh bayi sendiri. Ia menjadi sejarah hitam buat saya, “ ujarnya,-utusan









