Bakar anjing: Pemuda dikenakan tujuh sebatan ringan, berkelakuan baik - Utusan Malaysia

Bakar anjing: Pemuda dikenakan tujuh sebatan ringan, berkelakuan baik

BRADEN YAP HONG SHENG (hadapan) dijatuhi hukuman sebatan ringan sebanyak tujuh kali oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru selepas mengaku bersalah memukul dan membakar seekor anjing di Taman Impian Emas, Skudai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemuda yang bertindak kejam memukul dan membakar seekor anjing di Taman Impian Emas, Skudai, bulan lalu dikenakan hukuman sebatan ringan sebanyak tujuh kali oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim turut memerintahkan tertuduh, Braden Yap Hong Sheng, 19, dikenakan bon berkelakuan baik selama satu tahun dengan cagaran RM10,000.

Hukuman tersebut dikenakan  selepas mahkamah mengambil kira pelbagai faktor termasuk rayuan peguam bela tertuduh, hujah pendakwaan, fakta kes dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Berdasarkan kertas pertuduhan, Braden didakwap dengan zalimnya telah menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya kepada seekor anjing betina berwarna perang di sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai pada pukul 1.49 pagi, 27 Mac lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, G. K. Sritharan dalam hujah rayuannya berkata, tertuduh bertindak sedemikian sebagai membalas perbuatan anjing tersebut yang telah menyerangnya lebih lima kali.

“Tertuduh merupakan seorang pemuda yang baik dan sering berbasikal di lokasi tersebut dan dia kerap diserang anjing berkenaan yang merupakan ketua kepada kira-kira tujuh atau lapan ekor anjing lain. Tertuduh pernah cedera retak jari setelah terjatuh daripada basikal akibat dikejar anjing berkenaan sebelum ini. Hingga hari ini tangannya masih tidak kuat dan tidak boleh melakukan kerja berat.

“Akibat kejadian itu, tertuduh bertindak membaling pasu bunga, batu dan memukul anjing itu menggunakan ranting sebagai tindakan membela diri atas perbuatan anjing tersebut. Walau bagaimanapun, pada hari kejadian, iaitu pada 27 Mac lalu, tertuduh telah bertindak memukul anjing itu menggunakan sebatang kayu sebelum bertindak membakar anjing itu menggunakan pemetik api,” katanya sambil mengakui anjing berkenaan telah menjadi mangsa, namun anak guamnya juga mangsa keganasan anjing tersebut.

Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Mohd. Zamri Shak@Ishak pula memaklumkan anjing berkenaan turut mengalami beberapa kesan kecederaan, antaranya lebam dan luka terbakar di bahagian paha kiri, luka kaki hadapan serta pendarahan pada bahagian mata kiri.

Sementara itu, Che Wan Zaidi dalam penghakimannya  menyifatkan tindakan tertuduh adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan yang juga mempunyai hak untuk hidup dengan aman.

Beliau turut memerintahkan supaya hukuman tujuh sebatan ringan itu dilakukan pada 21 Mei depan secara terbuka di Mahkamah Sesyen Jenayah 4, pada pukul 9 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN