Agihan keuntungan Tabung Haji kekal kompetitif

Agihan keuntungan Tabung Haji kekal kompetitif

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus kepada kira-kira 8.7 juta pendeposit menunjukkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) masih kompetitif meskipun Malaysia dan dunia berdepan cabaran ekonomi yang mencabar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, ang­ka itu adalah munasabah dan hampir menyamai pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masing-masing sekitar antara empat sehingga lima peratus.

Katanya, kedudukan tersebut telah meletakkan Tabung Haji setanding institusi kewangan lain dalam menjana kewangan tinggi sekali gus berupaya menawarkan kadar dividen setimpal di samping menyediakan perkhidmatan haji yang mendapat mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Bagaimanapun Tabung Haji perlu mengembangkan pelaburan dengan tidak terhad kepada pelaburan tetap sahaja, sebaliknya melihat pelaburan menguntungkan demi mening­katkan pendapatan dan berupaya menambah agihan pendapatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tetapi saya nampak Tabung Haji mempunyai perancangan untuk memastikan kedudukan kewangan terus diungguli dengan banyak usaha sedang dirangka agar dapat mengekalkan ke­sinambungan kewangan pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Tabung Haji me­ngumumkan agihan keuntu­ngan sebanyak 3.10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2022 berjumlah RM2.65 bilion berbanding RM2.46 bilion pada 2021.

Dalam pada itu, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, semua pihak tidak boleh membandingkan agihan keuntungan sebelum 2018 di mana kedudukan Malaysia dan global adalah baik sehingga dapat memberikan dividen sehingga enam peratus.

Jelas beliau, pada waktu itu, Tabung Haji berkongsi keuntungan yang amat tinggi namun keadaan terjadi sebaliknya sejak lima tahun lalu.

Namun beliau berpanda­ngan Tabung Haji boleh mengulangi pencapaian cemerlang itu dengan menyemak semula pelaburan yang tidak memberi sebarang keuntungan selama ini.

“Tabung Haji boleh belajar daripada KWSP tentang bagaimana mereka boleh mela­bur sehingga memberikan pulangan dividen tinggi sekali pun berdepan cabaran ekonomi.

“Mereka kena kaji pelaburan tidak menguntungkan dan mencari peluang yang dapat memberi manfaat lebih besar agar memastikan kedudukan Tabung Haji terus berdaya tinggi untuk dividen lebih besar kepada para pendeposit,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN