PETALING JAYA: Sebanyak 76 lokasi di Semenanjung diklasifikasikan sebagai blackspot atau lokasi hitam kerana kerap berlaku kemalangan dalam tempoh setahun lalu.
Berdasarkan senarai Kementerian Kerja Raya (KKR), 76 kawasan hitam tersebut membabitkan lokasi-lokasi di Jalan Persekutuan dan lebuh raya di negara ini.
Mendahului carta, Kelantan mencatatkan 18 lokasi yang kerap berlaku kemalangan dengan tujuh daripada blackspot dikesan dalam daerah Pasir Mas.
Bakinya, membabitkan beberapa lokasi di sepanjang Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu. Kedah dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan 13 kawasan hitam.
Di Kedah, kawasan hitam membabitkan daerah Sik di sepanjang laluan Jalan Gurun-Kepala Batas manakala di Pulau Pinang daerah Seberang Perai Utara di Jalan Butterworth-Sungai Petani merekodkan kekerapan kemalangan tinggi.
Perak pula direkodkan mempunyai 10 kawasan kemalangan dengan sebahagian besar berlaku di Jalan Ipoh-Butterworth.
Selebihnya membabitkan Johor dengan enam kawasan, Perlis (5), Negeri Sembilan (4), Pahang (3), Selangor (2), Terengganu (1) dan Labuan (1).
Bagaimanapun, senarai tersebut tidak merekodkan kawasan hitam di Sabah dan Sarawak termasuk jumlah kemalangan yang berlaku di kawasan yang disenaraihitamkan.
KEMALANGAN

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Januari hingga September 2022 menunjukkan terdapat 402,626 kemalangan direkodkan dengan 4,379 kematian. Angka kemalangan itu meningkat hampir satu kali ganda berbanding 255,532 kemalangan pada tempoh sama tahun 2021, dengan melibatkan sejumlah 3,324 kematian.
Dalam pada itu, Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) memaklumkan berdasarkan kajian pihaknya sejak Januari lalu mendapati 31 kawasan hitam di laluan membabitkan Plaza Tol Bukit Raja menuju Plaza Tol Ipoh, Perak manakala Plaza Tol Sungai Besi menuju ke Plaza Tol Johor Bahru.
Berdasarkan sistem Automatic Traffic Incident Detection (ATID) dibangunkan penyelidik mendapati kawasan hitam di laluan sepanjang 521.7 kilometer (km) berbahaya kepada pengguna.
Pakar Keselamatan Jalan Raya UPM, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, menerusi kajian ATID terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada nahas di 31 lokasi tersebut.
Menurut beliau, antara faktor berpunca daripada landskap laluan berkenaan yang berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (RnR), susur keluar dan susur masuk ke laluan tersebut.
RnR
“Kami dapati laluan yang berhampiran dengan kawasan RnR, susur masuk dan keluar ke lebuh raya berkenaan meningkatkan risiko kemalangan disebabkan beberapa elemen antaranya perubahan kelajuan kenderaan dipandu.
“Perubahan kelajuan kenderaan lebih-lebih lagi secara mendadak menimbulkan banyak masalah sehinggakan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Kata beliau, antara lokasi-lokasi tersebut membabitkan laluan di Chenderiang, Tapah, Gopeng, Sungkai, Batang Padang, Jeram, Simpang Pulai, Trolak dan Terowong Menora di Perak.
Untuk rekod, pada Mei tahun lalu, laluan di Terowong Menora merekodkan nahas ngeri apabila lima individu rentung dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan treler.
Berdasarkan statistik Kementerian Pengangkutan, sebanyak 564 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di Terowong Menora sepanjang tahun 2018 dengan tujuh daripadanya adalah kemalangan maut yang membabitkan 11 nyawa terkorban.
Turut dikenal pasti adalah masing-masing dua lokasi di Bandar Baru Bangi, Shah Alam dan Seri Kembangan di Selangor.
Di Negeri Sembilan masing-masing dua lokasi di Linggi, Titian Bintangor, Pedas, Rantau, Rasah dan Nilai.
Di Melaka lokasi kemalangan maut yang di kenal pasti adalah Durian Tunggal dan Chinchin Jasin.
LOKASI
Di Johor lokasi dikenal pasti adalah di Kampung Kubor, Simpang Renggam; Kampung Tanjong Batu 15, Tangkak; Kampung Seri Makmur, Tangkak; Grisek; Johor Bahru; Kulai; Senai; Mukim Tanjung Sembrong dan Jorak.
Pada Oktober tahun lalu, sebuah lori yang menukar arah ke lorong kiri untuk mengelak kesesakan jalan raya dipercayai menjadi punca kemalangan yang meragut dua nyawa termasuk seorang wanita di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Kulai, Johor.
Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, terdapat beberapa lokasi lain seperti laluan Terowong Menora yang landskapnya berbukit dan berselekohturut menjadi punca berlaku kemalangan.
Menurutnya, laluan dari Ipoh menuju ke Kuala Kangsar pula kemalangan dikenal pasti berpunca daripada elemen geometri iaitu bentuk landskap laluan dan mungkin sedikit faktor kebolehlihatan.
“Bagaimanapun, faktor manusia adalah punca utama kemalangan di negara ini namun ia bukanlah mudah untuk diperbaiki.
“Risiko kemalangan terutamanya yang membabitkan kehilangan nyawa akan menjadi lebih besar jika faktor manusia dan geometri menjadi punca nahas.
“Oleh demikian apa yang boleh dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab adalah mengurang risiko tersebut dengan memperbaiki dekorasi dan beberapa perubahan di lokasi-lokasi dikenal pasti,” katanya.
Jelasnya lagi, faktor geometri di sesuatu laluan amat susah untuk diperbaiki namun ia boleh ditambah baik dengan membuat penanda jalan supaya dapat mengurangkan risiko kemalangan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Datuk Mohammad Hisham Shafie berkata, punca utama yang menyumbang kepada kes kemalangan jalan raya adalah sikap pengguna yang hanya akan mematuhi undang-undang apabila melihat kehadiran penguat kuasa. – UTUSAN










