BALING: Seramai 40 individu termasuk 35 warga asing dari China, Nepal dan Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana didakwa menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik Januari lalu.
Dua warga tempatan, Ho Chung Meng, 54, dan Poh Chu Yuan, 21, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Tiga lagi warga tempatan termasuk seorang wanita, Wong Siew Lin, 58; Tai Chan Weng, 56, dan Wong Hing Nam, 59, pula tidak direkodkan sebarang pertuduhan kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Pengakuan juga tidak direkodkan terhadap dua lelaki warga China, dua lelaki Nepal serta 31 lelaki warga Myanmar yang berusia antara 18 hingga 50 tahun kerana turut tidak memahami bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal iaitu Borang 6, antara pukul 9 malam, 31 Januari hingga 3 pagi, 1 Februari lalu.
PERHUTANAN
Kesemua tertuduh melakukan kesalahan di bawah subseksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang diterima pakai oleh Negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum bawah subseksyen 47 (4) Enakmen yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Wan Hazlin Suraya Wan Sharif; Noor Husnita Mohd. Radzi dan Naliatul Huzaimi Ab. Rasip, manakala tujuh daripada tertuduh diwakili peguam Lee Keng Fatt.
Najwa memerintahkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap lima tertuduh warga tempatan dan masing-masing RM7,000 kepada dua lelaki warga China dengan dua penjamin warga Malaysia serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Seramai 31 lelaki Myanmar dan dua warga Nepal pula tidak ditawarkan jaminan kerana sedang menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Mahkamah turut menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan jurubahasa.- UTUSAN










