Wujud kumpulan semak maklumat ChatGPT berkaitan fatwa di Malaysia - Utusan Malaysia

Wujud kumpulan semak maklumat ChatGPT berkaitan fatwa di Malaysia

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (tiga dari kiir) bergambar bersama pembentang Muzakarah Garis Panduan Penggunaan ChatGPT Dalam Pengeluaran Hukum dan Fatwa di Malaysia di USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah kumpulan yang terdiri daripada individu berkelayakan dan mempunyai kepakaran perlu diwujudkan bagi membuat semakan pengeluaran maklumat menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT yang berkaitan hukum dan fatwa di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, walaupun ChatGPT itu ibarat sebuah mesin atau robot dalam memberi penyelesaian pantas kepada setiap persoalan rumit dikemukakan, namun ia tetap perlu disediakan oleh mereka yang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. 

“Sebuah badan semakan yang diwujudkan tersebut perlulah mereka yang benar-benar berkelayakan, bukan sekadar mereka yang ada nama (popular) namun yang terlibat boleh buat kerja. 

“Seramai 30 orang penyelidik yang disasarkan nanti perlu menyelidik dan menambah baik, soalan-soalan dibaiki semula, perlu dimasukkan dalil dan hujah selepas itu ia perlu dibandingkan dengan pandangan fatwa negeri bahkan keputusan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Jawapan (dari ChatGPT) itu nanti makin lama akan makin baik dan dipercayai.

“Kewujudan badan semakan ini perlu disegerakan kerana (ChatGPT) telah berjalan,” katanya yang turut menjelaskan Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) USIM bersedia sebagai badan untuk melakukan melakukan tujuan tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pembentangan dalam Muzakarah Garis Panduan Penggunaan ChatGPT Dalam Pengeluaran Hukum dan Fatwa di Malaysia di USIM, Nilai di sini hari ini.

Turut terlibat dalam sesi pembentangan tersebut ialah pembentang Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Dr. Yasmin Hanani Mohd. Safian dan Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Azwa Abdul Aziz.

ChatGPT atau Chat Generative Pre-Trained Transformer merupakan bot sembang yang diperkenalkan firma OpenAI pada akhir tahun lepas di Amerika Syarikat.

Ia berasaskan teras model ‘chatbot’ untuk cuba meniru gaya perbualan normal manusia termasuk menulis dan menjawab soalan dan menjadi fenomena seluruh dunia ketika ini.

Bagaimanapun, sistem itu turut dikritik pelbagai pihak akademik kerana dikesan memberi jawapan dengan ketepatan fakta tidak sekata dan boleh diragui kredibiliti.

Zulkifli dalam pada itu berkata, beliau memuji usaha baik platform ChatGPT dalam memberi maklumat namun dalam beberapa perkara ia perlu ditambah baik termasuk dalam penggunaan bahasa Melayu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya