JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas semasa memancing di Kampung Kong Kong Laut, Masai, Pasir Gudang, pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba, Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu pada pukul 9.50 pagi dan menghantar lapan anggota berserta dua jentera ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat seorang lelaki dilaporkan hilang sebelum operasi mencari dijalankan sehingga mayat mangsa ditemukan tersangkut pada akar paya bakau.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mayat mangsa, Abdul Latif Mahmud, 61, kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tersebut tamat pada pukul 12 tengah hari. – UTUSAN