SEREMBAN: Pihak polis akan mengambil keterangan pemandu sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Hilux dan kereta BMW yang terlibat dalam kejadian buli jalanan di Lebuh Raya Seremban Port Dickson (SPDH) seperti yang tular dalam sebuah video di media sosial TikTok.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pada pukul 10.30 pagi hari ini telah terkesan satu rakaman video tular berdurasi 16 saat di TikTok memaparkan kejadian buli jalanan yang telah disunting melibatkan dua buah kenderaan.
“Kedua-dua pemandu dan saksi kejadian akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi siasatan lanjut.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku lebih kurang pukul 2 petang pada 30 Disember 2022 di Lebuh Raya SPDH menghala ke arah Port Dickson melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang memandu Toyota Hilux dan seorang lelaki berusia 52 tahun pemandu kereta BMW,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanda berkata, berdasarkan siasatan kejadian tular tersebut berpunca daripada pertelingkahan kedua-dua pemandu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Mambau akibat beberapa komponen batang paip telah terjatuh daripada kenderaan Toyota Hilux sehingga hampir mengenai sebuah kereta BMW tersebut ketika melalui lebuh raya berkenaan.
“Setelah berlaku pertelingkahan dan kedua-dua pihak beredar dari tempat kejadian, pemandu Toyota Hilux tersebut telah mengekori pemandu kereta BMW dan memberhentikan kenderaan di lorong kanan di simpang empat lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson.
“Pemandu Toyota Hilux itu telah bertindak mengambil gambar pemandu kenderaan BMW terlibat kerana dirinya telah dirakam oleh pemandu BMW ketika di R&R Mambau,” katanya.
Jelas Nanda,selepas kejadian, kedua-dua pemandu telah terputus haluan ke arah destinasi masing-masing dan tiada kesinambungan kejadian yang tidak diingini yang berlaku ke atas kedua-dua pihak selepas itu.-UTUSAN.